Welcome

Anak Buker L O M B O K


Jangan lupa tinggalkan saran dan komentar anda untuk kami jadikan inspirasi, agar postingan kami menjadi lebih baik dan lebih bermanfa'at. Sering-sering berkunjung ya...!

Rabu, 12 September 2012

TAQWA


KALIMAH "taqwa" (al-taqwa) biasanya diterjemahkan sebagai "takut". Makna harfi ini tidak menepati takrif takwa itu. Mengikut Imam al-Ghazali rahimahullah, kalimah taqwa yang terdapat di dalam al-Quran al-Karim membawa tiga makna:
.
~ Pertama, bermakna takut, gerun atau ngeri (haybah).  Antara firman Allah Taala yang tersisip kalimah takwa yang membawa makna tersebut ialah:  Dan bertakwalah (takutilah) suatu hari yang kamu akan dikembalikan kepada Allah. (2 : 281) ~ Kedua, bermakna taat.  Contohnya seperti yang terdapat dalam firman Allah yang maksudnya:  Hai sekalian orang yang beriman, bertakwalah (taatlah) kepada Allah dengan sebanr-benar takwa (taat). (3 : 102) ~ Ketiga, mengandungi maksud, menyucikan hati daripada dosa.  Contohnya dalam firman Allah yang mafhumnya:  Dan sesiapa taat kepada Allah dan Rasul-Nya, takut kepada Allah dan bertakwa kepada-Nya, maka mereka itulah orang-orang yang beroleh kemenangan. (24 : 52)Kalimah "bertakwa" dalam ayat terakhir di atas bukan lagi bermakna taat atau takut, kerana kalimah-kalimah "taat" dan "takut" telah disebutkan sebelumnya. dalam ayat di atas. Jadi "bertakwa" dalam ayat di atas bermaksud, menyucikan hati daripada dosa. Makna yang ketiga inilah merupakan takrif kepada istilah takwa. Mengikut para ulamak: "Takwa itu ialah menyucuikan hati daripada dosa, sehingga menguatkan azam untuk meninggalkan dosa dan seterusnya memelihara diri daripada segala maksiat".

Imam al-Ghazali membuat kesimpulan : Bahawa takwa itu ialah menjauhkan setiap apa yang ditakuti akan membawa mudharat kepada agama. Bandingannya ialah berpantang bagi orang yang mengidapi penyakit. Adapun berpantang daripada melakukan perkara-perkara yang membawa kerosakan kepada agama pula ialah "bertakwa".
Faktor-faktor yang mendatangkan kerosakan agama seseorang itu terbahagi kepada dua:

~ Pertama, kejahatan asli:
Maksud kejahatan asli itu ialah segala perbuatan haram, meliputi segala tegahan Allah Taala dan larangan dalam agama Islam.
~ Kedua, kejahatan bukan asli:
Maksudnya, perbuatan yang halal (harus) tetapi dilakukan secara berlebih-lebihan atau melampaui batasan (al-fudhul). Biasanya dilakukan tanpa kawalan untuk memenuhi keinginan nafsu kebinatangan. Dalam hal ini termasuklah juga segala perlakuan yang ditegah oleh adat atau adab yang telah diterima umum untuk mendapat kebaikan atau kebajikan.
Kedua-dua faktor tersebut hendaklah dijauhi kerana salah satu atau kedua-duanya akan membawa kehancuran kepada agama dan diri sendiri. Faktor yang kedua itu, umpamanya, boleh merangsangkan runtunan nafsu ammarah dan seterusnya membawa orang yang terlibat ke bidang maksiat.
Berkata Imam al-Gazali : "Janganlah berlebihan melakukan perbuatan walaupun yang tidak mudarat kerana ditakuti akan membawa mudarat. Makan terlalu kenyang, misalnya, boleh mendatangkan pelbagai penyakit dan tabiat buruk. Demikianlah juga, berlebihan dalam yang halal itu, hendaklah ditinggalkan kerana ditakuti akan tergelincir ke dalam yang haram pula".
Apabila seseorang itu berjaya membebaskan diri daripada pengaruh maksiat, berkat kekuatan azam, kemantapan iman dan mendapat taufik daripada Allah SWT, maka orang itu disifat sebagai orang bertakwa, sebagaimana tersebut dalam Hadis Rasulullah s.w.a yang mafhumnya:
Sesungguhnya mereka dinamakan muttaqiin (orang-orang yang bertakwa) kerana mereka meninggalkan apa yang mendatangkan mudarat kepada mereka dan menjaga diri mereka.
Pada keseluruhannya, takwa (yang bermaksud menyucikan hati daripada dosa) itu terbahagi kepada tiga:
·         Takwa daripada menyengutui Allah (syirik),
·         Takwa daripada bidaah (bid'ah),
·         Takwa daripada segala hukum tegahan syarak
·         (maksiat syar'iyyah).
Ketiga-tiga jenis takwa tersebut terkandung dalam ayat al-Quran al-Karim sebagaimana berikut, mafhumnya:
Tidak berdosa bagi orang-orang yang beriman dan mengerjakan amalan shalih kerana memakan makanan (haram) masa yang lalu, apabila merekabertakwa dan beriman serta mengerjakan amalan shalih, kemudian mereka bertakwa dan beriman, kemudian mereka bertakwa dan berbuat kebaikan. Dan Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebaikan. (5 : 93)
Tiga kalimah takwa - bertakwa - dalam ayat di atas masing-masing dengan pengertiannya dan masing-masing berpasangan dengan kalimah iman - beriman dan berbuat kebajikan. Mengikut al-Ghazali, maksud takwa yang pertama ialah bertakwa daripada syirik, kerama iman (beriman) yang mengiringinya itu berkaitan dengan kepercayaan dalam aspek akidah (tauhid). Maksud takwa yang kedua ialah bertakwa daripada bidah, dan iman (beriman) pasangannya itu ialah berikrar dan meyakini syariƔt Islam (ajaran al-sunnah wal-jamaa'ah). Manakala takwa yang ketiga bermaksud, bertakwa daripada maksiat syar'iyyah, kerana berbuat kebaikan (ihsan) itu bermaksud mengerjakan amalan taat dan beristiqamah dalam amalan yang menatangkan kebajikan kepada diri sendiri dan orang ramai.
Darjat Takwa:
Menurut al-Ghazali: Darjat takwa yang paling tinggi ialah meninggalkan kedua-dua faktor yang membawa kerosakan kepada agama (kejahatan asli dan kejahatan bukan asli) tersebut. Inilah ciri takwa yang sebenarnya. Apabila seseorang berjaya mencapai darjat takwa yang tertinggi ini, maka bermakna dia telah bertakwa kepada Allah Taala dengan dengan matanya, telinganya, lidahnya, perutnya, anggota sulitnya dan keseluruhan anggota badannya. Ini bermakna dia menyerahkan seluruh tubuh badannya itu semata-mata kepada Allah Taala. Ini juga bermakna dia telah mengekangkan nafsunya dengan lijam ul-taqwa (kekangan takwa). Ringkas kata, sesiapa yang berkehendakkan darjat takwa yang tertinggi, hendaklah dia memelihara anggotanya yang lima, iaitu mata, telinga, lidah atau mulut, hati dan perutnya daripada segala yang membawa mudarat kepada pegangan dan amalan agama.
Kelebihan Takwa:
Terdapat banyak ayat dalam al-Quran al-Syariif yang mengandunngi kalimah takwa yang dihubungkaitkan dengan segala kebajikan, kebahagiaan dan ganjaran pahala. Pada keseluruhannya, kebajikan, kemenangan dan kebahagiaan hasil daripada bertakwa itu terbahagi kepada tiga:
Pertama: Diberi taufik (kuat mengerjakan taat) oleh Allah Taala.
Allah Taala berfirman, mafhumnya:
Dan ketahuilah kamu, bahawa Allah berserta dengan orang-orang yang bertakwa (yakni memberi bantuan dan kemenangan). (2 : 194).
Kedua: Diperbaiki amalan dan diampuni dosa oleh Allah Taala.
Firman Allah Taala, mafhumnya:
Hai sekalian yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan ucapkanlah kata-kata yang benar, pasti Allah akan memperbaiki amalan kamu dan mengampuni dosa kamu.
(33 : 70 dan 71)
Ketiga: Diterima amalan oleh Allah Taala.
Mafhum firman Allah Taala mengenai hal ini ialah:
Katanya (Habil), sesungguhnya Allah hanya menerima (kurban / amalan) daripada orang-orang yang bertakwa.
(5 : 27)
Demikianlah juga perkembangan kerja ibadat hamba Allah itu melalui tiga peringakt, iaitu mula-mula diberi taufik dan keupayaan oleh Allah Taala sehingga timbul minat, lalu rajin dan tekun mengerjakan amal ibadat. Kemudian, diperbaiki amalan itu sehingga mencapai kesempurnaannya. Akhirnya, amalan hamba Allah itu diterima oleh Allah Taala. Semuanya itu adalah berkat daripada takwa.
Selain daripada tiga manfaat tersebut, banyak lagi kelebihan dan manfaat kurniaan Allah SWT kepada orang yang bertakwa. Antaranya :
1. Mendapat kepujian daripada Allah Taala, sebagaimana dalam firman- Nya yang bermaksud:
Dan jika kamu bersabar dan bertakwa, maka sesungguhnya
yang demikian itu adalah daripada urusan-urusan yang utama.
(3 : 196).
2. Mendapat pemeliharaan atau perlindungan Allah Taala daripada musuh. Firman-Nya:
Dan jika kamu bersabar dan bertakwa, tipu daya
mereka tidak sedikitpun memberi mudarat kepada kamu.
(3 : 120)
3. Mendapat pertolonngan daripada Allah Taala, Firnman-Nya yang bermaksud :
Dan ketahuilah bahawasanya Allah berserta dengan
orang-orang yang bertakwa. (9 : 123)
4. Mendapat kelepasan daripada segala kepayahan dan mendapat razeki daripada Allah Taala. Maksud firman-Nya :
Dan sesiapa bertakwa kepada Allah, Allah akan mengadakan
baginya jalan keluar (daripada kepayahan) dan mengurniakan
razei kepadanya daripada punca yang tidak terduga.
(65 : 2 dan 3).
5. Mendapat kasih daripada Allah Taala. Maksud firman-Nya:
Maka sesungguhnya Allah Taala menyukai orang-orang
yang bertakwa. (3 : 76)
6. Mendapat kemuliaan dan kebesaran daripada Allah Taala. Firman-Nya yang bermaksud:
Sesungguhnya yang paling mulia di kalangan kamu di sisi
Allah ialah orang yang paling takwa. (49 : 13)
7. Mendapat berita ghembira (busyraa). Firman Allah, bermaksud :
Mereka yang beriman dan tetap dalam keadaan bertakwa,
bagi mereka berita gembira dalam kehidupan di dunia dan
di akhirat. (10 : 63 dam 64)
8. Mendapat kelepasan daripada api neraka. Firman Allah Taala, bermaksud :
Kemudian kami akan menyelamatkan orang-orang
yang bertakwa dan membiarkan orang-orang zalim di
dalamnya (neraka) dengan keadaan belutut. (19 : 72)
9. Mendapat jaminan masuk syurga. Firman Allah Taala, bermaksud :
Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa itu berada di
dalam syurga. (15 : 45)
Ternyatalah Ternyatalah, dengan ketakwaan, seseorang itu akan mendapat kebajikan, kemenangan dan kebahagiaan di dunia dan juga di akhirat. Wallahu a'lam. 

Tidak ada komentar:

Posting Komentar